CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 5, 2008

UNGKAPAN INDAH DI DALAM PANTUN MELAYU

Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan unsur santun dan kiasan dalam budaya hidup mereka. Pantun merupakan salah satu prosa tradisional yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu dalam menyampaikan sesuatu maksud. Hal ini secara jelas menggambarkan citra pemikiran masyarakat Melayu yang sangat dekat dengan budaya 'cakap beralas'. Hal ini bukan sahaja mencerminkan seni keindahan, bahkan lebih jauh lagi ia sebenarnya mencerminkan cara hidup masyarakat Melayu itu sendiri. Selain itu, terdapat juga unsur nasihat dan teladan yang diselitkan di dalam pantun yang dikarang. Ayuh kita amati kerat pantun di bawah ini.
Di tepi kali saya menyinggah
Menghilang penat menahan jerat
Orang tua jangan disanggah
Agar selamat dunia akhirat
Beli sekayu kain kasa
Cukup diukur dengan lerengnya
Bangsa Melayu menjaga bahasa
Bahasa cabul pantang larangnya
Logam emas dibuat dinar
Logam besi dibuat dawai
Kalau tak berani berkata benar
Tak usah hendak jadi pegawai
Contoh pantun di atas secara jelas memberi pedoman dan unsur pengajaran kepada kita. Biarpun tidak disampaikan secara terus, tetapi tetap ada maksud yang tersirat di sebalik pantun-pantun yang dikarang itu. Ternyata, orang tua dahulu kala sangat kreatif dan bijaksana dalam mengungkapkan sesuatu idea dan pemikiran. Inilah sebenarnya budaya Melayu yang sewajarnya dpiertahankan oleh generasi pelapis hari ini agar ia tidak terus luput bersama arus kemodenan.

0 comments: