CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 12, 2008

MAKALAH PILIHAN


Mengarang “Panthong”
Manuskrip MS 449 merupakan salah sebuah manuskrip yang diperolehi oleh PNM melalui B.A. Hussainmiya pada 22 Julai 1986. Manuskrip berukuran 20 sm x 16 sm, berjilid kulit keras, masih dalam keadaan baik dan terdiri daripada 144 halaman. Pada halaman terakhir manuskrip terdapat catatan seperti berikut: “Ya ini kitab yang ampunya Inci’ Amitaboo 1879”. Secara keseluruhannya, manuskrip mengandungi enam isi karya yang berbeza antara satu sama lain, yang telah diringkaskan oleh pihak PNM seperti berikut:
A: Syair Jamad al-Qiamah halaman 1-46
B: Syair Burung Merpati halaman 46-66
C: Syair Makrifat halaman 66-82
D: Syair Nasihat halaman 82-87
E: Kumpulan Pantun Ibadat halaman 87-112
F: Doa halaman 113-115
G: Kitab Napoli halaman 116-139
Bahagian Kumpulan Pantun Ibadat terdiri daripada 107 buah rangkap pantun yang berkaitan dengan beberapa aspek ibadat yang terdapat dalam ajaran agama Islam. Sekurang-kurangnya 22 buah rangkap adalah ditulis dengan rima aaaa. Semua pantun dikarang di dalam bingkai bergaris empat segi. Walaupun pengarang pantun tidak dapat dikenalpasti dengan tepat, penulis berpendapat besar kemungkinan pantun ini telah dihasilkan oleh pengarang berketurunan Melayu di Sri Lanka, ataupun sekurang-kurangnya telah disalin di Sri Lanka. Salah satu alasan yang nyata dapat dilihat dari segi penggunaan perkataan pantun. Dalam keseluruhan manuskrip, terdapat sebanyak 30 kali perkataan pantun disebut atau dieja sebagai “berpantung” . Berikut beberapa contoh penggunaan perkataan “berpantung” tersebut:

Mula berpantung hamba seorang,
Mita ampun segala majlis;
Tiada tahu utang sebarang,
Berapa perkara hilangkan najis?

Hamba berpantung mula pertama,
Minta maaf hamba bertanya;
Jawab tuan segala ulama,
Di mana pohon suci di anggota?

Berpantung hamba dengar olehmu,
Empat perkara kata penghulu;
Pertama akal kedua ilmu,
Ketiga iman keempat malu.

Minta maaf tuan semua,
Hamba berpantung harap balasan;
Ertikan sunggu jangan kecewa,
Apa haqiqat Allah dan insan?

Dari segi penulisannya, sebahagian besar pantun menepati struktur pantun Melayu empat kerat yang biasa, yakni mempunyai bahagian sampiran dan maksud, terdiri daripada antara 4-5 perkataan sebaris, serta rima akhiran ab/ab. Walau bagaimanapun, banyak daripada pantun (rangkap 1 hingga rangkap 70) kurang memperlihatkan ciri-ciri pantun Melayu yang sebenar. Sampiran pantun dicipta secara mudah tanpa memperlihatkan penggunaan unsur-unsur alam yang sepatutnya. Walaupun pantun mempunyai rima ab/ab tetapi nada sebenar pantun lebih menghampiri sebuah syair Melayu. Berikut beberapa buah contoh pantun yang penulis maksudkan:

Hamba mencari ke sana sini,
Minta belajar dengannya fikrah;
Katakan sunggu jangan sembuni,
Qaedah zakat berapa perkarah?

Pertama mintakan faalnya Tuhan,
Memberi rezeki sekalian hamba-Nya;
Kedua menyatakan faal kemurahan,
Ketiga menyatakan faal ketinggiannya.

Hamba berpantung minta balasan,
Tuan menjawab supaya puji;
Hendak mengetahu dengan patulan,
Berapa perkarah qaedah haji?

Qaedah haji tiga perkarah,
Menyatakan kebesaran akannya Tuhan;
Pada pandangan hamba seluruh,
Memuliakan mengunjung pihak tapian.

Keadaan agak berbeza bagi pantun-pantun yang berikutnya, yakni bagi pantun rangkap 71 hingga rangkap 93, memperlihatkan ciri-ciri pantun berkait Melayu. Olahan sampiran pula telah dibuat secara lebih halus dan indah, diungkap daripada unsur-unsur alam, flora dan fauna, yang sering membentuk nilai-nilai keindahan pantun Melayu. Walau bagaimanapun, bentuk pantun berkait yang dibuat tidak mengikuti sepenuhnya struktur pantun berkait yang biasa. Dalam pantun berkait yang biasa, baris ayat yang kedua dan keempat akan diulang semula dalam rangkap yang berikutnya. Sedang dalam kumpulan pantun ini, pengarang hanya mengulangi baris yang kedua sahaja. Contoh yang jelas terdapat dalam petikan berikut:

Elok muda nyawa bertemu,
Sepokok jati bercarak empat;
Bukan mudah mencari ilmu,
Suruh mengenal jalan ma’rifat.

Sepokok jati bercarak empat,
Bunga dimakan anak harimau;
Jika tuan mengenal ma’rifat,
Baharu sempurna mendapat ilmu.

Bunga dimakan anak harimau,
Menimbal bayu di pokok jati;
Jikalau tuan carikan ilmu,
Supaya laku ketika mati.

Menimbal bayu di pokok jati,
Labing di ujung karang dimakan;
Ketika hidup belum mati,
Baiklah tuan ilmu carikan.

Kekuatan sebenar Kumpulan Pantun Ibadat, pada hemat penulis, adalah terletak pada tema atau perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarangnya. Pantun mengandungi beberapa persoalan tentang ajaran dan hukum Islam, bermula daripada aspek yang paling asas, tentang hukum bersuci, hinggalah ke aspek yang lebih rumit, tentang amalan tasawuf. Setiap persoalan adalah dalam bentuk pantun soal-jawab, kebanyakannya diungkap dalam beberapa rangkap pantun, di susun dalam peningkatan tahap-tahap pemikiran yang rapi dan sistematik. Keseluruhan tema atau perutusan pantun dapat diringkaskan seperti berikut:rangkap 1-9 hukum bersucirangkap 10-23 persoalan salatrangkap 24-33 Rukan Islam (syahadat, salat, puasa, zakat, haji)rangkap 34-45 tasawuf (makna tariqat, haqiqat dan ma’rifat) rangkap 46-59 persoalan iman dan amalrangkap 60-70 persoalan hidup dan matirangkap 71-82 hakikat ilmurangkap 83-93 rukun Islamrangkap 94-101 memuji Allahrangkap 102-107 penutup Berdasarkan isi kandungan pantun di atas dapat membayangkan tema atau perutusan yang bersifat pengajaran dan pendalaman beberapa aspek ajaran agama Islam yang suci. Dapat diduga bahawa pengarang pantun memiliki pengetahuan yang luas dalam agama, boleh berbicara tentang aspek ajaran agama yang asas hingga kepada aspek yang lebih tinggi, tentang haqiqat dan ma’rifat Allah SWT. Malahan, beberapa buah rangkap pantun yang dicipta benar-benar mengandungi pemikiran tasawuf yang tinggi, memerlukan taakulan yang mendalam daripada pembaca dalam memahaminya. Antara pantun yang penulis maksudkan tergambar seperti berikut:

Soal syariat umpama apa,
Umpama apa itu tariqat;
Haqiqat itu umpama apa,
Umpama apalah itu ma’rifat?

Jawab syariatku kulit kepalaku,
Tariqat umpama tempurung perbuatku;
Haqiqat umpama isi tempatku,
Ma’rifat minyak kepala uratku.

Hamba berpantung dengan perkasa,
Minta bertahu dengan isyarat;
Katakan tuan halanya sentosa,
Mana sebenar dunia dan akhirat?

Bermadah melarat tiada kecewa,
dunia itulah tubuh;
Sebenar akhirat itulah nyawa,
Hamba menjawab denganlah sungguh.

Penghasilan pantun yang bertemakan ibadat / ajaran agama Islam yang khusus bukanlah sesuatu yang asing dalam khazanah kesusasteraan Melayu. Terdapat banyak pantun yang telah dicipta dalam menceritakan atau memberi nasihat tentang ajaran dan amalan ibadat dalam agama Islam. Walau bagaimanapun, agak jarang ditemui pantun ibadat Melayu yang dicipta dalam bentuk sebuah kumpulan seperti yang terdapat di dalam MS 449. Lazimnya, penghasilan atau penulisan yang bertemakan ibadat akan dihasilkan dalam bentuk syair, suatu bentuk penulisan yang dirasakan lebih hampir kepada kesusasteraan Islam. Di samping itu, manuskrip Kumpulan Pantun Ibadat turut memancarkan ciri keuniversalan pantun Melayu yang bukan sahaja boleh berbicara tentang tema kasih sayang, cinta, nasihat, jenaka, sindiran, kepahlawanan, kekeluargaan atau kepimpinan, malahan turut dapat berbicara tentang hal-hal yang berkaitan dengan alam ketuhanan. Pantun turut berperanan sebagai medium dakwah dalam menyebarkan dan mengukuhkan ajaran Islam. Pantun turut menjadi sebahagian daripada medium pengucapan kesusasteraan adab di Alam Melayu, sama ada adab kehidupan bermasyarakat mahu pun adab kehidupan beragama. Demikian barangkali perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui petikan pantun berikut:

Berpantung dengan hati walang,
Ketika seorang hamba meninggal;
Apalah hati apalah hilang,
Apalah pulang apalah tinggal?

Ketika seorang hamba meninggal,
Saya menjawab sukalah hati;
Nyawalah pulang iman tinggal,
Ma’rifat hilang lepas mati.

Hamba berpantung sukalah hati,
Bertanya tuan saling berhadap;
Apa hidup tiadalah mati,
Apa mati tiadalah hidup?

Berpantung dengan sukalah hati,
Menjawab tuan saling berhadap;
Tiap-tiap hidup itu mati,
Tiap-tiap mati kemudian hidup.

Berahi pantung sukalah hati,
Hamba pun tahu itu makna;
Ertikan haqiqat hidup mati,
Mendapat belajar dengan sempurna.

Berpantung haqiqat hidup mati,
Ertikan benar dengan hadap;
Nyawa mu hidup tiada mati,
Tubuh mu mati tiada hidup.

Minta maaf tuan semua,
Hamba berpantung harap balasan;
Ertikan sunggu jangan kecewa,
Apa haqiqat Allah dan insan?

Menjawab pintu taqliq,
Maknakan sunggu dengan apa;
Haqiqat Allah itu Khaliq,
Haqiqat makhluk itu manusia.

Menjawab pantung dengan nyata-menyata,
Ertikan benar dengan mufasil;
Tuhan wujud berkata-kata,
Haqiqat manusia itu insan kamil.

Sumber:Sekretariat Pantun Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. http://pantun.usm.my

0 comments: