CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, March 6, 2008

SENI BERPANTUN-MENJANA INTELEKTUAL

Pernah suatu masa dahulu, aku hanya menjadi 'bidan terjun' dalam arena pantun. Pendek kata sekadar suka-suka mencuba. Tetapi siapa sangka bermula dari perasaan suka-suka itu berputik minat di dalam diri untuk lebih mendekati dunia pantun warisan 'Pak Tua'ini. Ternyata benarlah kata peribahasa " Tak kenal maka tak cinta". Perlahan-lahan minat itu meresap ke dalam jiwa untuk lebih serius mempelajari selok-belok pantun Melayu warisan ibunda ini.
Aku mengakui bukan mudah untuk mempelajari seni berpantun dalam masa yang singkat. Semuanya perlu bermula dari bawah. Ibarat anak kecil yang baru celik mata mengenal dunia, begitulah diibaratkan aku. Sokongan dari pelapis terdahulu telah membakar semangat aku untuk belajar sesuatu yang baru. Lagipun, ini akar budaya bangsa, seharusnyalah ia dipertahankan oleh anak muda zaman ini. Aku merasakan suatu kepuasan bila dapat menggarap bait-bait pantun hasil buah fikiran aku sendiri. Kadangkala terlepas juga keluhan kerana terlalu sukar mendapat ilham untuk diadaptasikan sebagai pantun. Jelasnya di sini, dunia pantun sebenarnya menjana minda kita untuk bergerak dan berfikir secara kreatif. Teringat pula bicara seorang sasterawan tersohor di Malaysia. Katanya " Pantun Melayu itu sangat tinggi mutunya kerana ia sebenarnya memberi cerminan kepada budaya bangsa Melayu itu sendiri yang sangat sinonim dengan budaya 'berlapik' dalam menyampaikan sesuatu maksud atau tujuan.
Sekalipun untuk tujuan menyindir, pantun Melayu tidak sekali-kali dikotori dengan bahasa yang kasar bahkan ia digarap dengan penuh simbolik untuk menggambarkan maksud sindiran. Lihatlah betapa halusnya peradaban Melayu yang meletakkan nilai kesantunan dalam berbahasa pada tempat yang tinggi. Minda masyarakat sentiasa 'beroperasi' untuk mengetengahkan sesutu idea yang baru. Hal ini secara nyata telah memberi gambaran kepada kita bahawa seni berpantun itu sebenarnya memerlukan daya imaginasi dan keintelektualan yang tinggi.
Merafak sembah di tengah gelanggang
Nak dara manis cantik menawan
Beribu harapan bukan kepalang
Seni berpantun diukir berzaman

0 comments: